Thursday, June 12, 2008

Gurindam untuk Pak Lah


Lompat si katak lompat
Sambil menjeling rumah jiran
Yang dikejar tak dapat
Yang Dikendong berciciran
 
Bijak Pandai BN merangka strategi
Salah satunya mengatur undi
100% kemenangan terasa pasti
Malangnya tak tercapai yang dihajati
Kelantan kekal PAS, Terengganu sipi-sipi
Kubu kuat pula tergadai kini
 
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Tuai undi antara nampak
Kecundang jua di Kelantan
 
Ada yang tergamam, ada yang meratap
Sampai tak terjawab soalan wartawan
PRU12 buat pemimpin BN tak lelap
Jangan terkedu Pak Lah, itulah kenyataan
 
Ambo hanya rakyat biasa
Tak sehebat demo berpolitik
Cuma boleh berkongsi rasa
Kenapa rakyat tak nak demo dilantik
 
Bosan tiada liputan media yang adil
Semasa kempen, hanya propaganda BN ke udara
Wakil rakyat BN pentingkan parti, bukan suara rakyat yang memilih
Bila berdemonstrasi suarakan rasa hati, rakyat dibedil
tiada lagi ruang untuk berbicara
harga barang naik, camner ekonomi insan biasa nak pulih?
 
Banyak lagi yang tak kena
Baru jadi wakil rakyat, rumah dibina sebesar istana
Asalnya hanya rakyat biasa
Inilah yang buat rakyat garu kepala, terpinga-pinga
 
Memang banyak projek dirangka
Tapi yang kena tempias hanya segelintir
Memang banyak peluang bisnes untuk bumiputra
Tapi berapa kerat yang merasa, ramai yang tesingkir
 
Pembangkang minta permit, susah polis nak bagi
Nak bentangkan hujah menjadi sukar
Media arus perdana tak guna dihubungi
Laporannya mungkin banyak yang tidak benar
 
Dulu pelajar universiti dilarang berpolitik
Lalu merekapun buat hal remaja sahaja
La ni, sibuk pula nak jentik
Pelajar IPT tak minat mengundi utk negara
 
Ini yang paling ambo pelik
Masa dirasakan ada demonstrasi di Kuala Lumpur
Polis boleh adakan sekatan jalan, tutup jalan sampai "jam" laluan
Bila masa pilihanraya kat negeri "panas"
Awat polis tak kawal perjalanan bas persiaran, hadkan perjalanan
Biar kurangkan sikit suasana panas
Lagipun takkan dia orang tak minat mengundi
Hari mengundi baru nak melancong, baru nak buat kajian kat negeri orang
Abih sempatke nak balik mengundi kat negeri sendiri
Garu kepala ambo dibuatnya.

 
Lain kali, kalau pengundi itu bukan pemastautin atau berasal dari negeri tu, janganlah gatal nak mengundi kat negeri orang. Nantikan bimbang berhijrah ke negeri orang, undi di negeri sendiri hilang, langsung tergadai pula negeri tu. Jagalah negeri sendiri, jangan menyibuk negeri orang.  Wallahualam, harap tak terjadi. Kalau terjadi, sendiri mahu ingatlah. Ingat, jangan jadi "ayam terlepas, tangan bau tahi."

Friday, February 29, 2008

Presiden Pas sedia berdebat dengan Presiden Umno mengenai manifesto

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Presiden dan Timbalan Presiden Umno mengenai manifesto PAS,'Kerajaan Beramanah Adil dan Bersih, Menuju Negara Berkebajikan'.

Menurut setiausaha akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir, Abdul Hadi bersedia untuk melakukan perdebatan tersebut pada 5 Mac (Rabu) ini dengan Dato' Seri Abdullah Badawi.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa turut menyatakan kesediaan yang sama untuk berdebat dengan Dato' Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac (Selasa). Kedua-dua pimpinan tertinggi PAS itu menyerahkan kepada kedua-dua pimpinan Umno itu untuk menetapkan lokasi bagi perdebtan tersebut.

Jelas Roslan, perdebatan tersebut akan membuktikan kepada dunia keterbukaan semua pihak di Malaysia bagi mandaulatkan demokrasi dan menjalankan pilihan raya secara teratur dan bersih.

"Perdebatan tersebut bagi membolehkan rakyat menilai berdasarkan hujah dan fakta yang dikemukakan. Rakyat tidak mahu, malah bosan dengan propaganda yang berat sebelah, yang hanya menyerang satu pihak tanpa memberi ruang dan peluang kepada pihak berkenaan untuk membela dan mempertahankan diri," katanya sewaktu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Dalam perkembangan lain, jelas Roslan, PAS mendesak agar pihak bertanggung jawab segera menjalankan siasatan terhadap calon BN Dun N.19 Demit Kelantan Dato' Muhamad Abdul Ghani berhubung dakwaan salah laku beliau sebagai Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Katanya, dakwaan tersebut juga difahamkan turut disertakan kepada pihak BPR.

Sementara itu, jelas Roslan, PAS turut melahirkan kekesalan kerana Barisan Nasional (BN) dengan sewenang-wenangnya telah menggunakan wajah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menghiasi menifesto BN di muka surat 6, Bab Undang-undang dan keselamatan awam.

Beliau berpendapat, penggunaan wajah Ketua Polis Negara merupakan satu bentuk penyalah gunaan imej penjawat awam untuk kempen politik.

Katanya, dengan menggunakan wajah Ketua Polis Negara seolah-olah BN mengharapkan semua undi pos di kalangan anggota dan pegawai polis akan mengundi mereka.

Thursday, February 28, 2008

Dr M sifatkan Khairy membawa bencana

"Saya rasa, jika anda mengikut mereka, ia akan membawa bencana kepada parti".

Itulah jawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya tentang kemungkinan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memainkan peranan yang lebih besar dalam Umno selepas pilihan raya ini.

Dalam temubual dengannya yang disiarkan oleh Today Online semalam, Dr Mahathirt juga berkata kad laporan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melaporkan perkara-perkara yang negatif.

"Sebagai contoh, kehilangan begitu banyak wang, prestij negara menurun dan hakikat bahawa ramai yang tidak dapat mencari kerja dan perniagaan di dalam negara ini. Mereka terpaksa pergi ke tempat lain," kata bekas Perdana Menteri.

Dr Mahathir menyifatkan koridor demi koridor yang dilancarkan oleh Abdullah hanya pengumuman semata-mata.

"Tidak ada apa-apa yang berlaku di tempat berkenaan. Jumlah wang yang terlibat begitu hebat. Sehingga bertrilion ringgit dan akan menjadi kenyataan mungkin dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi. Oleh itu, kesemuanya adalah janji. Sesiapa sahaja boleh berjanji," katanya.

Beliau juga tidak menolak tanggapan bahawa tindakan mencalonkan anaknya, Datuk Mukhriz bertanding di Jerlun adalah untuk meminggirkannya. Sebelum diletakkan bertanding di Jerlun, Mukhriz menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Langkawi, yang disifatkan oleh pemerhati sebagai lebih selamat.

"Saya tidak tahu. Sesetengah orang berkata, perkara itu memang berlaku. Tetapi, saya tidak ada bukti".

Mengenai peluang pembangkang dalam pilihan raya ini, Dr Mahathir menjangkakan undi Barisan Nasional akan berkurangan.

"Saya agak pasti kekecohan di jalan raya sejak November lalu akan memberikan kesan ke atas jumlah undi yang diberikan kepada kerajaan. Jumlah undi (Barisan Nasional) akan berkurangan," kata Dr Mahathir yang menyifatkan pembangkang tidak kelihatan boleh berkerjasama.

Kekuatan pembangkang, katanya, ialah kerana begitu banyak perkara negatif termasuk banyaknya kes rasuah di dalam kerajaaan dan peningkatan kadar jenayah.

Manifesto BN, bahan murah yang diiklan berlebih-lebihan - Yusof Embong

Pengundi diingatkan jangan terpengaruh dengan slogan iklan Barisan Nasional 'Selamat, Aman, Makmur' yang menjadi moto parti itu, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, ustaz Yusof Embong.

ImageMenurut beliau, slogan BN itu hanyalah iklan yang digarab begitu rupa untuk memikat pengundi sama seperti iklan barangan lain di media.

Katanya, barangan bermutu biasanya tidak diiklankan secara berlebih-lebihan kerana ia sememangnya berkualiti dan baik. Malah, mutunya tidak terjejas sekalipun tanpa diiklankan, hanya pengeluar barangan murah dan tidak bermutu sahaja menggunakan stretegi begitu.

"Hanya pengeluar barangan bermutu rendah sahaja yang menggunakan iklan sebagai strategi untuk meningkatkan jualanya," ujar beliau.

Tambah Yusuf, rakyat telah merasai sendiri bagaimana bentuk keselamatan, kemanan dan kemakmuran negara di bawah pentadbiran Umno/BN.

"Rakyat semakin tidak selamat dengan peningkatan kes jenayah di Pahang (118 %), peningkatan kes rogol kepada (49%) serta jenayah lain yang turut meningkat. Begitu juga kesejahteraan rakyat yang tergugat dengan kenaikan harga barangan harian, harga minyak dan sebagainya," katanya.

Rakyat, katanya perlu membuat pembetulan dengan menghantar seberapa ramai wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk membantu kerajaan mengurus negeri dengan lebih baik dan bertanggungjawab, kata Yusuf yang juga calon PAS bagi Dun N.19, Pancing.

Dun Pancing mempunyai 15,700 pengundi.

Sementera itu, calon PAS N.06. Batu Talam, Ustaz Suhaimi Saad berkata, slogan 'Selamat, Aman dan Makmur' itu hanya dinikmati oleh pemimpin BN sahaja.

Beliau berkata, slogan tersebut sangat bertepatan dengan pemimpin BN khususnya menteri kerana mereka adalah golongan yang merasa selamat kerana sentiasa dikawal oleh pasukan keselamatan, aman kerana tidak merasai tergugat dan sejahtera kerana semua kos perbelajaan ditanggung oleh kerjaan.

Beliau mendedahkan bagaimana seorang menteri BN memperolehi gaji sehingga RM18,000 sebulan, elauan keraian RM10,500 sebulan, elauan perumahan RM10,000 sebulan, elauan wakil rakyat RM10,650 sebulan dan elaun parking RM5,700 sebulan.

Selain itu para menteri itu juga diberi beberapa kemudahan lain seperti, RM50,000 setahun untuk bercuti, RM40,000 setahun untuk perkakasan dapur, elauan rumah terbuka RM400,00o setahun selain semua bayaran eletrik, telefon, air secara percuma.

Suhaimi berkata, slogan 'Selamat Aman dan Makmur' yang menjadi motto BN kali ini sememangnya tepat dengan kehidupan pemimpin BN tetapi tidak kepada rakyat.

Ini kerana tiada yang percuma untuk rakyat, subsidi masih ada sedang dikaji untuk dihapuskan atau kurangkan pada sama golongan menteri terus menerima subsidi kerajaan.

"Keadaan sudah terbalik, golongan kaya berpendatapan tinggi menerima subsidi, manakala golongan rakyat susah tiada subsidi buat mereka," katanya.

Sementara itu, Harakahdaily difahamkan pengusaha stesyen minyak Petronas di seluruh negara telah menerima notis supaya menambah deposit bagi bekalan petrol dan diesel masing-masing.

Ini bermakna harga minyak adakan naik dalam masa terdekat selepas pilihan raya umum , 8 Mac ini.

Menurut sumber, semua pengusaha minyak petronas telah menerima notis berkenaan tetapi mereka diminta supaya menangguhkan kenaikan harga bahan api berkenaan

Anggota tentera ada dua nama pada buku daftar pemilih

Mungkinkah pengendalian pilihan raya yang dijalankan di negara ini benar-benar telus. Namun sebenarnya ramai yang masih mempertikaikan.

Terbaru pengundi pos di kalangan anggota tentera dikatakan sebahagiannya mempunyai dua nama dalam buku daftar pemilih. Namun sejak isu itu didedahkan nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membisu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, sebahagian pengundi pos mempunyai dua nama pada buku berasingan iaitu sebagai pengundi tentera dan satu lagi terdapat dalam senarai pengundi awam.

Bercakap pada sidang media hari ini katanya, ada anggota tentera memberi maklumat berhubung namanya dicatat pada senarai undi pos dan undi awam.

“Pada masa yang sama nama mereka ada dalam dua buku daftar pemilih, saudara bayangkan sendiri apa akan berlaku apabila seseorang pengundi diberi peluang untuk mengundi dua kali,” ujarnya.

Oleh itu, katanya SPR wajar memberi penjelasan segera berhubung perkara itu dan PAS bersedia memberi kerjasama bagi sama-sama menanganinya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS dan rakyat akan kecewa sekiranya SPR tidak mengambil sebarang tindakan berhubung gesaan tersebut.

Bagaimanapun apa yang lebih penting suasana yang bakal berlaku dalam negara selepas pilihan raya, sekiranya ia dikendalikan tidak bersih dan adil.

“Ini tentunya akan menggugat kestabilan negara yang telah dibentuk oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Pada persidangan media media itu Husam turut mendedahkan pengundi yang berusia 100 hingga 128 tahun terdapat dalam buku daftar pemilih di seluruh negara sekarang berjumlah lebih 1,000 orang.

Menurutnya, PAS begitu sangsi terhadap fakta itu memandangkan umur mereka sudah begitu lanjut yang begitu ramai.

“Kalau benar mereka masih wujud, kita telah berjaya mencipta rekod dunia iaitu mempunyai jumlah orang tua yang begitu ramai,” ujarnya.

Sebahagian nama pengundi berkenaan tertera dengan nama, alamat dan usia masing-masing dalam buku daftar pemilih.

Beliau juga berkata, kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) dilihat semakin terdesak apabila cuba menghadkan kebebasan rakyat terutamanya di Kelantan dalam menentukan sesebuah kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini arahan telah dikeluarkan untuk tidak mengizinkan majlis program pembangkang khususnya PAS menggunakan skrin besar bagi memaparkan apa yang berlaku.

Tindakan SPR itu katanya, seolah-olah meminta rakyat menutup mata agar tidak dapat melihat di sekelilingnya dengan apa yang berlaku dalam negara.

“Ini bererti rakyat diminta memejam mata dan hanya perlu membuka telinga sahaja, iaitu dengar ceramah sahaja dan jangan melihat.

“Saya rasa tindakan ini amat janggal, sudahlah kita tidak ada siaran televisyen sendiri, kita diketepikan dalam laporan media arus perdana, dah lah tak ada radio, nak masuk iklan dalam surat khabar pun tidak diizinkan,” ujarnya.

Sunday, February 24, 2008

Rangkuman pencalonan PRU-12

Hari ini penentuan bermula. Langkah awal para calon dalam pilihan raya ke-12 akan ditentukan pada hari ini. Kalau diterima borang pencalonan, maka mereka akan bertanding, tetapi jika ditolak, maka lawan calon akan meraih kemenangan tanpa memerah keringat.

Dalam melaporkan perkembangan yang berlaku, beberapa wartawan Harakah meninjau situasi di beberapa kawasan pencalonan seperti berikut;

Lembah Klang

Di Pusat Pencalonan Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak, ANIS NAZRI melaporkan sekitar jam 9.30 pagi tadi calon-calon daripada Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan borang pencalonan mereka iaitu, untuk calon Parlimen Gombak (P098), Azmin Ali; Dato' Dr Hasan Ali (Dun Gombak Setia - N17); Shaari Sungib (Dun Hulu Klang - N18) dan Amiruddin Shaari (Dun Batu Caves - N16).

Sementara itu, calon-calon BN pula adalah Said Anuar Said Ahmad (P.098), Yuszahari Yusoff (N17), Ahmad Bujang (N18) dan T Mohan (N16). Manakala dalam perkembangan yang tidak dijangka, terdapat pencalonan Bebas iaitu , Azmi Hussain (N16).

Menurut Anis, di luar kawasan pusat pencalonan, para penyokong BA telah memenuhi kawasan berkenaan dengan membawa sepanduk, bendera dan melaungkan slogan-slogan untuk menaikkan semangat para calon dan ahli parti.

Antara, slogan yang dikesan ialah, 'reformasi', 'hidup rakyat'dan 'barang naik' sementara sepanduk yang dibawa pula tertulis; 'dah lama sangat dah...cuba ubah sekali', 'kami menang, sekolah rendah ke pendidikan percuma untuk semua rakyat',' kami menang, petrol dan diesel turun.

Selain itu, terdapat juga sepanduk yang tertulis 'tawaran-tawaran BA untuk wanita','undilah PAS untuk menuju negara kebajikan.'

Sementara itu, wartawan NYZA AYOB melaporkan dari Pusat Pencalonan Dewan MPAJ, pusat berkenaan telah dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Calon-calon daripada BN dilaporkan memulakan penyerahan borang pencalonan iaitu; Dato' Ong Tee Kiat (Parlimen Pandan), Nosimah Hashim (Dun Chempaka) dan calon untuk Dun Teratai. Manakala diikuti pula dengan calon BA pada jam 9.15 pagi iaitu; Syed Shahir Syed Mohamud - KeADILAn (Parlimen Pandan), Iskandar Abdul Samad - PAS (Dun Cempaka) dan Jenice Lee - DAP (Dun Teratai).

Di luar kawasan pencalonan kira-kira 2,500 penyokong pembangkang kelihatan berkumpul dengan meneriakkan; 'hidup..hidup rakyat','undi BA, KeADILan, DAP' dan 'kasi turun BN - Barang Naik.'

Sementara itu, BN dilaporkan memenangi kerusi Dun pertamanya di Selangor dengan tanpa bertanding melalui calonnya di Dun Sementa oleh Abdul Rahman Palil setelah calon KeADILan tidak hadir di pusat pencalonan.

Manakala terdapat pertandingan tiga penjuru di Kelana Jaya apabila calon KeADILan, Goh-Burne Loh ditentang oleh calon BN-MCA, Lee Hwa Beng dan calon bebas, Billi Lim Peng Soon.

Di Lembah Pantai pula, wartawan Harakah, ROY RASUL melaporkan pertandingan tiga penjuru berlaku apabila Dato' Sharizat Jalil (BN), ditentang oleh Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar (KeADIlan) dan calon bebas, N Periasamy.

Dalam pada itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditemui di pusat penamaan calon Lembah Pantai memberitahu, beliau akan membantu berkempen untuk anaknya di situ demi memastikan kemenangan Nurul Izzah.

Kelantan

Dalam pada itu, perkembangan di Kelantan yang dilaporkan oleh WAN NORDIN dan INTAN ABDULLAH memaklumkan; calon-calon PAs di Parlimen Tumpat telah dikepalai Dato' Kamarudin Jaffar dengan melangkah masuk pusat penamaan calon di Pejabat Tanah Daerah Tumpat.

Di Dun Kelaboran, Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga penyandang kerusi akan menentang calon BN, Wan Hanapi Wan Daud, sementara di Dun Wakaf Barum calon PAS, Che Abdullah Mat Nawi akan menentang Mohd Rosdi Abdul Aziz dari BN.

Manakala Dun Pengkalan Kubor pula calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Hassan Berahim akan menentang calon BN, Noor Zahidi Omar.

Terdapat bantahan yang dibuat wakil PAS terhadap calon BN pertamanya ke atas Ashraf Wajdi berikutaan kekeliruan alamat tetap dan alamat suart menyurat, begitupun bantahan ditolak.

Sementara itu di luar pekarangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, penyokong kedua-dua parti yang bertanding saling sorak menyorak.Kira-kira 5000 penyokong PAS berkumpul di bahagian sebelah kiri pejabat,sementara kira-kira 1000 penyokong Umno terdiri dari Puteri Umno bersorak di sebelah kanan pejabat.

Di Dun Kijang pula, PAS menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon Barisan Nasional (BN) ditolak.

Calon PAS, Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon BN, Mustopha Ahmed ditolak.

Sebelum itu, PAS memprotes pencalonan Mustopha kerana beliau telah menerima notis bankrap Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke atasnya pada 25 November 2005.

SPR akhirnya menerima protes itu.

Terengganu

Sementara itu, RASHIDI HASSAN melaporkan dari Terengganu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi.

Bagi kerusi Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.

Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.

Manakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.

Manakala di Kuala Terengganu pula, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berdepan pertandingan tiga penjuru bersama calon BN, Razali Ismail dan seorang calon Bebas, Maimun Yusuf yang berusia 89 tahun.

Pulau Pinang

Di kawasan Parlimen Permatang Pauh pula (P44), lebih 3,000 penyokong Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan sokongan apabila berkumpul di sebuah padang berhampiran dengan pusat pencalonan.

Dr Wan Azizah telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.15 pagi di Maktab Perguruan Tengku Bainun manakala lawannya, Pirdaus Ismail menyerahkan borang pada jam 9.03 pagi.

Manakala di Parlimen Bukit Bendera (P48),calon BN, Chia Kwang Chye ditentang oleh calon DAP,Liew Chin Tong. Manakala di Jelutong (P50) pula, blogger Jeff Oii akan berhadapan dengan calon BN, Dr Thor Teong Gee dan calon Bebas, Badrul Zaman.

Pahang

Manakala wartawan Basiron Abdul Wahab melaporkan, kesemua calon BA, 12 parlimen dan 35 Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang bertanding dalam pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.

Tiga kawasan Dun bagaimanapun berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan calon bebas iaitu Dun Damak, Dong dan Mentakab. Kerusi Dun Damak diwakili KeADILan, begitu juga Dun Dong manakala Mentakab diwakili DAP.

Pesuruhjaya PAS Pahang Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Dun Jengka, beliau ditentang calon BN, Wan Salman Ismail.

Thursday, February 21, 2008

Calon PAS gabungan ulama, profesional berwibawa

Para pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, 8 Mac ini, akan berpeluang memilih calon terbaik yang akan dikemukakan PAS di seluruh negara. Calon PAS adalah gabungan mantap daripada kalangan ulama, profesional, intelektual dan para aktivis parti yang sangat dekat dengan rakyat. Mereka telah dipilih melalui pelbagai proses yang akhirnya diluluskan oleh Majlis Syura' Ulama.

Dengan para calon berwibawa daripada PAS ini, pengundi tidak sukar untuk memilih wakil berwibawa mereka untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Kecuali ada sedikit perubahan kecil pada saat akhir sebelum hari penamaan calon 24 Februari ini, para calon PAS terdiri daripada tokoh ulama berwibawa, pendakwah, pemimpin masyarakat, intelektual, profesional dan pendidik berwibawa.

Dimulakan dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd Aziz Nik Mat yang dijangka mempertahankan kerusinya di Dun Cempaka, kemudian diikuti dengan Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Abd Hadi Awang yang dijangka bertanding di tempatnya sendiri di Marang, Terengganu.

Kemudian timbalannya, Ustaz Nasarudin Mat Isa yang dijangka bertanding di Kelantan, demikian juga Husam Musa yang akan mempertahankan kerusi Dun di Kelantan, Haji Mohamad Sabu di Terengganu dan Ustaz Haji Ahmad Awang di Dun Semanggol, Perak.

Di kalangan para ulama, PAS menyediakan calonnya, antaranya, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, Ustaz Hashim Jasin, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, Ustaz Muhd Daud Iraqi, Ustaz Azizan Abd Razak, Ustaz Taib Azamuddin, di samping puluhan lagi para ustaz muda yang berwibawa, berkelulusan tinggi dan menyerlah, yang tentunya tidak dapat disebutkan semua nama mereka di sini.

Sementara itu calon-calon profesional dan intelektual seperti Dr Syed Azman Syed Nawawi, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Hatta Ramli, Ir Haji Khalid Samad, Ir Fakhrurrazi Nawawi, Ir Amirudin Hamzah, Dato’ Dr Hasan Ali, peguam Hanipa Mydin, Haji Taulan Rasul, Taqiyuddin Hassan, Dr Shafie Abu Bakar, Dr Mariah Mahmud, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan puluhan lagi doktor dan peguam serta ahli ekonomi dan jurutera.

Mereka ini memilih PAS sebagai wadah perjuangan justeru kerana mereka yakin PAS telah menyediakan kesempatan dan peluang luas untuk mereka merialisasikan cita-cita perjuangan mereka untuk membela Islam dan menegakkan keadilan untuk semua rakyat.

Justeru pada ketika para pengundi sedang melalui suatu perubahan berfikir bahawa calon yang mereka pilih nanti mesti berwibawa dan bersih, maka PAS telah menawarkan sekian ramai calonnya yang berwibawa, berilmu dan hebat.

Memanglah sangat wajar para pengundi mengutamakan calon berwibawa, berilmu dan bersih, kemudian barulah parti yang mereka wakili. Namun begitu, secara lojiknya, jika calon itu tidak bermutu, tidak bersih, berakhlak buruk dan rasuah sudah tentulah parti yang diwakilinya juga bukan sebuah parti yang baik, yang boleh diharapkan oleh rakyat.

Ini kerana calon yang tidak berwibawa itu datang daripada parti yang tidak berwibawa juga, kalau tidak masakan ia memilih calon yang sedemikian rupa.

Hasil tarbiyah berterusan yang ditekankan oleh PAS selama ini yang menitikberatkan mengenai akhlak, ilmu, ketrampilan sebagai pemimpin Islam, cerdas dan dinamik, jelas PAS tidak sukar menghasilkan calon berkualiti tinggi.

Hampir semuanya lulusan universiti dalam dan luar negara, kebanyakannya boleh bertutur dalam bahawa Arab dan Inggeris, berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan ilmu-ilmu lain.

Mereka ini kebanyakannya menguasai bidang IT, mempunyai bacaan luas, terdedah di peringkat nasional dan internasional. Di samping itu mereka banyak terlibat dengan kerja kemasyarakat di tempat masing-masing umpamanya menolong mangsa tsunami, banjir besar, kebakaran, kemarau dan pelbagai lagi.

Mereka terlibat dengan kerja-kerja amal ini bukan saja di dalam negara bahkan di luar negara seperti yang terjadi pada tsunami di Aceh (Indonesia), gempa bumi di Jawa Tengah (Indonesia), Iran, Turki, Pakistan dan sebagainya.

PRU ke-12 8 Mac ini, rasanya para pengundi akan memilih calon berwibawa daripada PAS dan rakan-rakannya dalam BA, bukan lagi totok memilih parti tertentu walaupun calon mereka lemah. Kita yakin perubahan minda pengundi kali ini akan diterjemahkan melalui peti undi.

Bagaimana BA boleh turunkan harga minyak?

Jika selama ini Petronas untung sejak 2000

RM (untung kasar)

  • 2000

  • 2001
  • 2002
  • 2003
  • 2004
  • 2005
  • 2006
  • 2007
  • 21.611 bilion
  • 29.029 bilion
  • 24.318 bilion
  • 26.873 bilion
  • 37.445 bilion
  • 58.037 bilion
  • 70.2 billion
  • 76.3 bilion

Jika selama ini BN-UMNO menggunakan duit Petronas

NILAI DALAM RM

  • Membina menara berkembar Petronas
  • Membina KLIA
  • Membina MSC
  • MembinaTrek F1
  • Menaja Petronas Sauber F1
  • 10 bilion
  • 10.5 bilion
  • 19 bilion
  • 286 juta
  • 1 bilion setiap tahun

Menaja subsidi gas kepada YTL Power (milik Yeh Tiong Lay) dan Genting Sanyen (milik Lom Goh Tong) ---siapa untung?

  • 14 bilion setahun

menyelamat kerugian DRB-Hicom (proton) siapa untung?

  • 1 bilion

menyelamat kerugian MISC (milik Mirzan Mahathir) siapa untung?

  • 1 bilion

menyelamat kerugian Bank Bumiputera--- siapa untung?

  • 4 bilion

Maka mengapa BA tidak boleh gunakan wang Petronas

NILAI RM

untuk kurangkan harga minyak --- siapa untung?

  • 10 bilion subsidi

untuk pendidikan percuma kepada rakyat --- siapa untung?

  • 10 bilion subsidi

untuk hapuskan tol --- siapa untung?

  • 5 bilion pampasan

Pak Lah bersengkang mata nilai calon BN

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata beliau terpaksa bersengkang mata sehingga jam 1 pagi semalam, bagi menimbang senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Menurutnya, beliau menimbang cadangan senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikemukakan pengerusi BN negeri serta menemui pemimpin parti komponen BN.

“Ia ambil masa lama. Belum selesai lagi,” katanya di majlis Perhimpunan Setiakawan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Perdana Menteri di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini.

Sebelum menghadiri majlis itu pada petang ini, Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih lagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin terbabit di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

"Saya beritahu Najib, I have to go (saya terpaksa pergi) kerana yang tunggu ahli perniagaan Melayu yang niat mereka untuk beri sokongan kepada saya.
Najib kata, if that’s the case you have to go (jika begitu, Datuk Seri kena pergilah),” katanya

Negara berkebajikan tajaan PAS bukan retorik - Husam

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menjelaskan konsep negara kebajikan tidak ada masalah untuk dilaksanakan PAS dan Barisan Alternatif (BA) sekiranya menang dengan majoriti pada pilihan raya umum ini.

"Bukan kita tidak mampu laksanakan tawaran itu. Kita tetap akan laksanakan apabila diberi mandat oleh rakyat. Dan tumpuan kita sekarang mahu mengurangkan majoriti Barisan Nasional," katanya pada satu program ceramah di Selising malam tadi.

Menurut beliau sekiranya kita tidak dapat menguasai peringkat Pusat, pelaksanaannya boleh dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai PAS dan pembangkang.

Semalam ketika bercakap kepada pemberita di Kota Darulnaim katanya, PAS tidak ada masalah membentuk kerajaan biar pun bertanding hanya 60 kerusi di peringkat parlimen, memandangkan masih ada rakan-rakan lain.

"Kalau rakyat bagi mandat kita akan buat. Kita masih boleh bentuk kerajaan melalui pakatan dengan kawan-kawan lain dari pembangkang.

"Kawan-kawasan dari Umno juga kita tawarkan, misalnya di Sabah, Sarawak kalau mereka setuju boleh jadi kawan kita. Kita tidak buat (negara kebajikan) seorang.

"Power sharing itu ada. Dan profit sharing itu lain sekarang. Bagaimanapun BN hanya lebih penting profit sharing," katanya.

Menurutnya pada asalnya PAS berusaha hendak kurangkan majoriti BN memandangkan PAS tidak bertanding dikesemua kerusi Parlimen.

Katanya kalau kerajaan BN mempunyai kuasa besar, ia tidak baik untuk survival rakyat.

"Kita kena pujuk rakyat, kita ikhlas hendak tawarkan kepada rakyat dengan beberapa tahap. Sekarang tahap pertama hendak kurangkan majoriti. Ini yang kita tawarkan kepada rakyat.

"Dan kalau rakyat kata PAS dah layak memerintah itu sudah tahap yang kedua. Jadi kalau kita tidak beri apa-apa tawaran bagaimana rakyat hendak buat perbandingan," katanya.

Ditanya masalah dalaman di kalangan pembangkang kata Husam serupa berlaku dalam BN terutamanya dengan PPP sekarang.

Namun katanya apa yang pasti pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku di kalangan pakatan pembangkang.

Malah Husam menegaskan tawaran negara berkebajikan bukan suatu retorik untuk menarik sokongan pengundi semata-mata, tetapi ia merupakan satu konsep yang boleh dilaksanakan.

Malah katanya sebahagian konsep itu sudah dilaksanakan kerajaan Kelantan sekarang.

"Hanya dalam masa 18 tahun memerintah pelbagai program kebajikan yang tidak terdapat di mana-mana negeri BN berjaya diperkenalkan kerajaan PAS di Kelantan walaupun sumber kewangan sangat terhad.

"Umpamanya kita menjaga kebajikan warga emas dengan memperkenalkan program Takaful Kifaalah, bagi menjaga kebajikan armalah kita wujudkan insurans yang dikenali sebagai Takaful Armalah.

"Selain itu kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan beberapa syarikat Takaful bagi memperkenalkan pula satu skim insuran kepada golongan muda yang berumur 30 tahun ke bawah," katanya pada satu majlis di Pengkalan Chepa.

Menurutnya, skim insuran itu lahir daripada idea Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara faedah yang akan dinikmati pencarum yang terdiri daripada golongan miskin atau berpendapatan rendah akan mendapat sumbangan RM1,000 bagi menampung perbelanjaan perkahwinan mereka.

"Melalui insuran ini kita harap dapat meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah khususnya yang telah berusia tetapi tidak berkahwin kerana halangan kewangan," katanya.

Selain itu bagi mengatasi masalah mat rempit dan lumba haram, program khusus untuk mendaftar mereka dalam skim insuran khas akan dilaksanakan.

"Melalui program ini Insya-Allah kita akan dapat mengatasi masalah mat rempit di Kelantan. Mereka akan dikumpulkan untuk didaftar sambil diberi ceramah motivasi.

Presiden PAS lancar manifesto 'Negara Berkebajikan'

Manifesto PAS 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan' yang diuar-uarkan sebelum ini akhirnya dilancarkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang tadi.

ImageDalam pelancaran manifesto itu, PAS menonjolkan Negara Berkebajikan sebagai satu tawaran untuk menunaikan keperluan rakyat dalam menghadapi penderitaan dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Menurut Abdul Hadi dalam ucapan pelancaran, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state.

"Walaupun sebahagianya dilaksana oleh negara-negar Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas," katanya.

Katanya, bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah,adil dan bersih.

Apa yang terkandung dalam 'Negara Berkebajikan', PAS melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan pendidikan dan kesihatan secara percuma.

ImageBukan itu sahaja, Abdul Hadi turut menegaskan 'Negara Berkebajikan' juga hendaklah mengendalikan hasil negara iaitu kewangan dan segala punca ekonomi dengan cara amanah dan bersih daripada rasuah.

Dengan menghapuskan sifat rasuah ini, beliau juga yakin dan percaya PAS dapat mengendalikan hasil negara dengan baik dalam masa yang sama mendapat kepercayaan daripada masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS turut menonjolkan aspek spiritiual yang berbeza seperti mana 'Walfare State' yang dibuat di negara Barat.

Menurut beliau, aspek spiritual itu merangkumi perhitungan dosa dan pahala di sisi Allah yang ada dalam ajaran Islam.

Dengan menerapkan aspek itu, beliau yakin rakyat akan selesa bukan sahaja kehidupan mereka bertambah baik bahkan akan wujud sifat toleransi antara satu sama lain.

ImageTurut serta dalam pelancaran manifesto PAS itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; AJK PAS, Dr Mohd Hatta Ramli; Calon Putrajaya, Mohammad Nor Mohamad; Calon Kota Raja, Dr Mariah Mahamud dan Calon Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali.

Justeru, tegasnya, 'Negara Berkebajikan' akan memberi keberanian kepada rakyat berbagai kaum, akademik dan pakar-pakar untuk mengkritik dan memberi pandangan kepada kerajaan.

Oleh itu, katanya, demonstrasi jalanan tidak akan timbul bahkan demonstrasi akan dijalankan dengan aman begitu juga kebebasan media akan berlaku dengan sebaiknya.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dalam ucapannya berkata, PAS mengemukakan manifesto pada hari ini untuk menjelaskan kepada rakyat supaya tidak timbul kekeliruan sebagaimana yang cuba dipropagandakan oleh parti lawan.

Beliau juga berharap, PAS akan dipilih dan diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini sekaligus akan melaksanakan apa yang terkandung dalam manifesto itu.

ImageAbdul Hadi turut menyerahkan manifesto kepada setiap wakil Dewan Muslimat, Pemuda, Ulama, jentera wanita muda, kelab penyokong PAS dan wakil kawasan.

Manifesto yang mempunyai 36 muka surat terdiri daripada 12 Teras, antaranya;

* Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih
* Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara, * Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan Membenteras Jenayah.
* Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan
* Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat
* Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta
* Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra-Rakyat
* Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita
* Memajukan Industri Pertanian sekaligus Membela Kaum Petani dan Nelayan
* Dasar, Etika dan Amalan Media Massa Adil, Bersih dan Demokratik
* Pemuliharaan Alam Sekitar
* Dasar Perpaduan Nasional.

Monday, February 18, 2008

Pilihan raya, antara calon dan keperluan rakyat - Mufti Perlis

Ada insan-insan yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan mimpi gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tapi ingin memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka. Samada tangan itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuhan politik, atau rakyat yang akan mengundi nanti.

Saya amat tertarik dengan surat Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang mengandungi wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau yang ketika itu begitu teramat uzur. Beliau meminta supaya Saidina ‘Uthman menulis untuknya seperti berikut: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr bin Abi Quhafah pada waktu terakhir kehidupan di dunia dan sedang keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya di akhirat dan sedang masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang kafir akan beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini ‘Umar bin al-Khattab.

Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak akan melewatkan sebarangkan kebaikan untuk Allah (keredhaanNya), RasulNya, agamaNya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar) berlaku adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia mengubahnya (kepada tidak adil), maka setiap orang akan menanggung dosa yang telah dilakukannya.

Aku bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui yang ghaib (keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam ‘alaikum warahmatullah”. (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr).

Surat ini menggambarkan betapa Saidina Abu Bakr sedarkan dirinya dan kita semua bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan rakyat mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.

Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.

Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sahaja sekadar meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi kesannya amat besar terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan kekacauan sebuah masyarakat.

Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin atasan yang membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau rakyat bawahan yang akan mengundi, maka hadis berikut patut direnungi: sabda Nabi s.a.w “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai ALLAH, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya ALLAH mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.

Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dalam Muwata`). Demikianlah pemilihan dan pengundian, walaupun bukan ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa kesan yang teramat besar.

Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat kepimpinan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memastikan agar calon-calon yang diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi kenyataan, bukan sekadar slogan.

Ya, rakyat juga sudah ramai yang bijak dan mula tahu menilai. Bukan masa lagi sekadar untuk berbangga dengan jenama parti, sedangkan wakil atau pemimpin yang dilantik tidak mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival umat.

Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur atau latar pendidikan semata, ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Sebaliknya, seperti yang selalu saya sebutkan hendaklah berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti yang diajar oleh al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas.

Sementara al-Amanah adalah nilai taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26).

Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w dan meminta baginda menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat membimbing mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang amanah, bahkan benar-benar amanah. Maka para sahabat Nabi s.a.w pun tertunggu-tunggu siapakah yang dipilih. Lalu baginda bersabda: “Bangunlah! Wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah”. Lalu Abu ‘Ubaidah pun bangun dan baginda pun bersabda: “Inilah orang yang amanah bagi umat ini” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, Abu ‘Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai insan muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan segala kepentingan diri. Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran kegemilangan ketika dia dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab. Hidup dalam penuh kezuhudan dan menyebarkan keadilan untuk rakyat.

Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata -pada umumnya- dalam hal ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar mengutuskan atau mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini hanyalah yang amanah. Hanya yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lain baginda: “Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia menipu mereka melainkan Allah haramkan baginya syurga” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana belum tentu gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan amanah. Amanah adalah sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam kehidupan insan, bukan pada gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan kita mengatasi nama dan gelaran tetapi ciri dan kewibawaan.

Saya tidak mahu mempersoalkan ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Kepimpinan bukan macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin bertukar selera. Bukan tom yam atau sup atau mee bandung. Kepimpinan soal keadilan dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan tanpa penyelewengan.

Jika ‘muka lama’ terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredhaan Allah dan RasulNya, memajukan minda dan harta, menunaikan tuntutan dunia dan akhirat maka dia layak meneruskannya. Apa ertinya pula ‘muka baru’ jika dari awal sudah ada potensi negatif.

Namun jika ‘muka lama’ terbukti menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah peluang untuk dibarukan ‘muka’ seperti itu. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Sesiapa yang miliki ciri-ciri yang menjadikan dilayak memegang kuasa, maka diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru. Para al-Khulafak al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun rakyat tetap menangisi hari kematian mereka sebagai tanda khidmat mereka masih diperlukan. Malangnya di kalangan kita hari ini kadang kala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat menangis kerana khidmat mereka mengundang kesusahan.

Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan teramat penting. Namun jika tidak diiringi dengan perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang diserahkan kepadanya, maka berbagai kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku.

Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita. Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang seperti itu.

Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.

Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w menyebut: “Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan”. Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu dilantik ‘Ali dan diserahkan bendera kepadanya” (Riwayat Ibn Majah, sahih).

Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti Professor atau Dr berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbezaan antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.

Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan. Seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. (Riwayat Muslim).

Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita sekalipun tidak layak?. Kita mengkhianati amanah.

Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.

Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar menjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.

Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan berbagai.

Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.

Sabda Nabi s.a.w: “Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat” (Riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan buah fikiran secara matang.

Sunday, February 17, 2008

Hormatilah saranan Dr Mahathir, jangan pilih calon BN yang rasuah

"Pemberi dan penerima rasuah masuk neraka." (mafhum hadis)

Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersuara lagi. Kali ini tentang rasuah. Dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku terbarunya, "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" (Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Para Pemimpin Dunia) beliau mahu penyokong BN tidak mengundi pemimpin yang "korup dan kayu mati" dalam pilihan raya umum ini.

Menurutnya, masa sudah tiba untuk "membersihkan kerajaan BN, khususnya parti tulang belakangnya, Umno" yang sudah semakin parah dihinggapi barah rasuah.

Usaha ini, tegasnya perlu kerana BN nampaknya tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri. Beliau menambah, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti akan dikekang.

Itu saranan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN yang telah menerajui pentadbiran negara lebih dari dua setengah dekad (24 tahun)!

Dan sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Dr Mahathir mengakui telah memberi amaran, merayu malah menangis di atas pentas Perhimpunan Agung Umno supaya budaya membeli undi, politik wang dan rasuah dihapuskan dalam Umno. Bagaimanapun amaran, rayuan dan ratapan beliau tidak langsung diendahkan para perwakilan Umno kerana masing-masing sudah basah lencun disimbah gelombang rasuah!

Apa yang mendukacitakan Dr Mahathir, beliau juga kalah dalam mendapatkan tempat sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu kerana rasuah.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangkakan perkara ini akan berterusan sewaktu pilihan raya umum," katanya.

Bagi Dr Mahathir, seluruh perwakilan Umno yang memenuhi PWTC setiap kali persidangan Umno berlangsung tidak lagi boleh dipercayai kerana gagal membersihkan Umno daripada amalan rasuah. Baginya, Umno tidak lagi berupaya untuk membersihkan diri daripada rasuah seperti mana gagalnya tokoh-tokoh agama Umno untuk menjadikan parti itu sebagai 'parti yang beragama'. Maka jelaslah bahawa teori "membersihkan tong tahi dari dalam" tidak langsung menampakkan hasil seperti gagalnya Anwar Ibrahim dan para sahabatnya untuk "mengislamkan Umno dari dalam".

Maka Dr Mahathir merayu kepada para penyokong setia Umno dan BN - yang tidak terlibat dengan rasuah - untuk membantu membersihkan Umno dan BN daripada rasuah.

Ketika pentadbiran Abdullah dilihat lemah dalam usaha membanteras rasuah dan di saat institusi pembanteras rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga terlibat dalam rasuah dan melindungi perasuah (lihat kenyataan bekas setiausaha 'peguam mabuk' VK Lingam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Lingam), tiada pilihan bagi rakyat khususnya penyokong BN selain menolak calon-calon rasuah dalam pilihan raya umum ini.

Memang ada usaha di kalangan pemimpin Umno/BN untuk mengaburi mata rakyat dengan mendakwa calon-calon BN telah pun ditapis oleh BPR dan bersih daripada rasuah; tetapi adakah kita boleh mempercayai sebuah badan pembanteras rasuah seperti BPR yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan kredibiliti dan komitmen pentadbiran Abdullah dalam membanteras rasuah diragui rakyat.

Lihat sajalah kesudahan kes rasuah bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia. Apa jadi dengan 18 kes rasuah berprofail tinggi yang diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Rais Yatim yang pada penggal kedua pentadbiran Abdullah ditukar portfolio ke Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (Kekkwa)? Bagaimana pula kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang masing-masing dibebaskan dari sebarang dakwaan oleh polis (yang menyiasat Zulkifli Mohd Nor) dan BPR (yang menyiasat Musa Hassan).

Adakah kita tidak mendapat pengajaran daripada kegagalan polis mengesan individu yang melebamkan mata Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan; sehingga satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan dan mendapati penjenayah itu ialah Ketua Polis Negara sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Nor)?

Kita boleh menyenaraipanjangkan kes-kes rasuah yang masih tersimpan dalam 'fail X' negara termasuk pengagihan saham bumiputera kepada menantu Ketua Wanita Umno yang masih lagi bersemangat untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar. Tetapi jika rakyat masih bersikap sambil lewa dalam usaha membanteras dan membasmi rasuah - barah ini akan terus membelenggu negara.

Mungkin ramai penyokong BN yang menganggap kempen PAS dan BA untuk menyelamatkan negara daripada rasuah sebagai 'cakap-cakap politik' bagi meraih kuasa. Bagaimanapun jika seruan itu datang daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN - yang telah menerajui kerajaan lebih dua dekad lamanya - ia perlu dipandang serius oleh rakyat!

Dr Mahathir bercakap tanpa sebarang kepentingan; malah kedudukan beliau sebagai penasihat beberapa GLC boleh tergugat apabila membangkitkan isu ini. Beliau mungkin gagal membanteras rasuah ketika memegang kuasa. Tetapi berilah peluang untuknya membersihkan negara daripada rasuah setelah melihat betapa jijiknya amalan itu ketika tidak lagi berkuasa.

Kepada para penyokong BN, hormatilah saranan Dr Mahathir.

Jangan pilih calon rasuah!

Selamatkan negara daripada pemimpin rasuah!

Friday, February 15, 2008

Kajian TV3: 62 peratus tidak setuju kempen pilihan raya 13 hari

Kajian TV3 dalam Buletin Utama semalam bertajuk 'Tempoh 13 hari berkempen yang diumumkan SPR memadai' mendapat respon di luar jangka daripada para penonton yang mana 62 peratus daripadanya jelas tidak bersetuju dengan kempen pendek tersebut.

Keputusan tersebut telah disiarkan secara ringkas di ruang berita kecil di bahagian bawah pentas 'tempat' pemberita TV3 membaca berita.

Menurut KLpos.com keputusan itu tidak disiarkan secara penuh malah tidak diumumkan oleh pembaca berita berbanding bancian sebelum ini yang mana akan membacakan keputusan dan memaparkan grafnya sekali.

Difahamkan purata jumlah penonton TV3 di antara 2.2 juta hingga 2.5 juta.

Pada 10 Ogos lalu PAS juga dilaporkan 'menang' dan mendapat sokongan penonton Buletin Utama apabila sejumlah 60 peratus tidak bersetuju bahawa 'hasrat PAS tawan 40 kerusi parlimen merupakan angan-angan mat jenin'.

Ungkapan 'angan-angan mat jenin' ini berdasarkan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mengkritik hasrat PAS tersebut.

Difahamkan kajian tersebut mendapat reaksi yang membimbangkan daripada kalangan sesetengah pemimpin Umno dalam menghadapi pilihan raya umum Mac ini.

Pengundi berdaftar sebelum 1 Jan 2008 saja layak mengundi

Hanya mereka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih atau pemilih yang membuat pertukaran alamat sehingga 31 Disember tahun lalu sahaja boleh mengundi pada pilihan raya kali ini, kata Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor hari ini, Jumaat.

Beliau berkata ini berikutan keputusan SPR menggunakan daftar pemilih induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari tahun ini untuk tujuan pilihan raya dan yang membolehkan 10.9 juta pemilih layak mengundi.

"Mereka yang mendaftar pada 1 Januari tahun ini dan seterusnya adalah tidak layak untuk mengundi," katanya ketika diwawancara oleh Radio24 Bernama malam ini, Jumaat.

Katanya, SPR telah menggunakan pelbagai pendekatan bagi memudahkan orang ramai yang layak mendaftar sejak tahun lalu termasuk kakitangan SPR bergerak di beberapa tempat untuk membuat pendaftaran selain melantik 650 pejabat pos berkomputer untuk urusan pendaftaran.

"Jadi mekanisme untuk mendaftarkan pemilih itu sudah luas, cuma kadang kala sikap ''tidak apa'' menjadi masalah," katanya.

Kamaruzaman turut menasihatkan para pengundi supaya membuat semakan daftar pemilih lebih awal iaitu sebelum hari membuang undi bagi menentukan status kawasan pengundian mereka selain menasihatkan mereka menyimpan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan diri, lesen memandu atau pasport bagi memudahkan proses pengenalan diri semasa hendak membuang undi.

"Tolong simpan dengan baik dan jangan bagi semua itu kepada orang lain.

"Dan yang terakhir, kertas undi mestilah dimasukkan di dalam peti undi..jangan dibawa balik kerana jika dibawa pulang, adalah menjadi kesalahan dan akan didakwa di bawah seksyen 3 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Pilihan raya dan amalan demokrasi di Malaysia

Pada 8 Mac ini, 10.9 juta pengundi berpeluang menggunakan hak masing-masing untuk memilih sebuah kerajaan melalui peti undi suatu proses dalam amalan demokrasi di Malaysia yang telah berlangsung sebanyak 11 kali sebelum ini.


Pilihan raya ialah proses demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih wakil mereka daripada calon-calon parti politik atau calon bebas untuk duduk dalam Dewan Rakyat di peringkat pusat dan dalam Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Parti politik yang menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat akan menjadi kerajaan di peringkat persekutuan manakala parti politik yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri akan menjadi kerajaan di peringkat negeri.

Pilihan raya amat penting dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi seperti Malaysia.

Perjalanan pilihan raya di Malaysia diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah badan bebas, yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam mengendalikan pilihan raya.

Sebagaimana lazimnya, setiap kali mengadakan pilihan raya umum, SPR akan membuat beberapa pembaharuan dan kali ini perubahan paling ketara ialah penggunaan peti undi lutsinar dan dakwat pada kuku dalam usahanya menjadikan proses pengundian lebih telus dan mengelakkan penipuan.

Sejak merdeka lima dekad yang lalu, Malaysia sentiasa dipuji oleh banyak pemimpin dunia kerana berupaya mempertahankan amalan demokrasi melalui pilihan raya yang adil.

Kata-kata pujian dan tahniah daripada para pemimpin dunia setiap kali selepas keputusan pilihan raya umum disiarkan membuktikan mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia.

Pemimpin dunia yang pernah memberi pujian itu termasuklah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan bekas Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi serta para pemimpin negara anggota ASEAN.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye yakin bahawa pilihan raya kali ini akan merupakan suatu proses yang lebih telus hasil langkah yang diambil oleh SPR.

Kebebasan rakyat memilih calon itulah yang menunjukkan wujudnya demokrasi.

Di samping itu, suatu kejayaan besar dicapai daripada segi prinsip pilihan raya demokratik iaitu keputusan yang diperoleh melalui pilihan raya ialah keputusan yang sah dan diterima oleh semua pihak dalam atau luar negara.

Lee berkata pengenalan beberapa langkah seperti peti undi lutsinar, dakwat kekal dan tiadanya nombor siri pada kertas undi menunjukkan wujudnya demokrasi dalam perjalanan pilihan raya dan ini jaminan kepada rakyat untuk terus mengundi tanpa berasa curiga.

Demokrasinya pilihan raya di Malaysia juga dapat dilihat apabila tiada berlakunya pertumpahan darah seperti yang dialami oleh sesetengah negara.

Umpamanya dalam pilihan raya di sebuah negara Asean pada 2001, polis terpaksa menfokuskan usaha meningkatkan keselamatan dan memantau pergerakan kumpulan upahan bersenjata, di kawasan wilayah pedalaman utara dan timur laut di mana saingan sengit dan perbuatan berpaling tadah dari satu parti politik ke parti lain adalah perkara biasa.

Persaingan antara parti politik, pertandingan merebut kerusi pilihan raya, budaya gaduh serta pemberontakan penduduk dan komunis pula menjadikan pilihan raya sebuah negara lain sebagai peristiwa berdarah.

Kejadian tembak menembak membabitkan perkara remeh sering berlaku. Ketika pilihan raya keganasan membabitkan senjata api tercetus dalam kalangan anggota parti yang bertempur untuk mendapatkan kuasa.

Dengan ganjaran besar untuk pemenang pilihan raya, termasuk ganjaran wang, kontrak dan lesen kerajaan, sesetengah ahli politik sanggup membunuh untuk memenangi kerusi pilihan raya di sebuah negara luar.

Di sebuah lagi negara, penduduknya keluar mengundi dalam keadaan terpaksa pada satu pilihan raya manakala beribu-ribu penduduk kampung di sebuah negara lain terpaksa melarikan diri selepas khabar angin bahawa keganasan akan meletus bila-bila masa pada pilihan raya Parlimen.

Menurut Lee, pada pilihan raya di Malaysia semua pihak yang terlibat sentiasa menentukan tiada huru-hara serta memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan aman.

"Faktor ini penting," katanya.

Dengan jaminan polis kejadian seperti yang dialami oleh negara-negara lain semasa pilihan raya tidak akan berlaku di negara ini, kini terpulang kepada rakyat untuk menggunakan sistem demokrasi untuk masa depan mereka dan negara.

Kepentingan amalan mesra alam sekitar bagi kempen pilihanraya

Pilihanraya Hijau

Pilihanraya akan berlangsung tidak lama lagi selepas parlimen dibubarkan. Kita akan dapat melihat berjuta-juta poster dan bahan hiasan pelbagai jenis untuk menarik perhatian pengundi.

Semua ini hanya akan digunakan untuk satu jangkamasa yang pendek sahaja dan akan menjadi sisa pepejal akhirnya. Perkara ini telahpun berulang setiap pilihanraya.

Bahagian Alam Sekitar FOMCA ingin meminta jasa baik calon-calon piliharaya dan pasukan kempen mereka untuk menjadikan kempen tahun ini KEMPEN HIJAU.

Jadikan alam sekitar sebagai agenda kempen.

Terdapat beberapa cara perkara ini dapat dilakukan:

- Mencetak bahan-bahan ini dengan sedikit merupakan penyelesaian yang terbaik.

- Mencetak menggunakan bahan-bahan kitar semula dan bahan-bahan yang boleh dikitar semula adalah digalakkan. Ini juga merangkumi tanggungjawab mereka untuk menanggalkan semula bahan-bahan ini dan menghantarkannya untuk dikitar semula selepas pilihanraya.

- Suruhanjaya Pilihanraya boleh mengehadkan jumlah cetakan bahan-bahan promosi kempen yang boleh dicetak oleh setiap calon dewan undangan negeri dan parlimen. Ini juga merangkumi jenis bahan yang dipilih untuk dicetak.

Tunjukkanlah teladan yang baik kepada rakyat untuk diikuti. Masa depan di tangan anda.

Kempen dalam internet: SPR tidak ada kuasa

Penggunaan teknologi maklumat terutama internet dijangka menjadi alat berkempen paling berpengaruh pada pilihan raya akan datang melebihi masa-masa sebelum ini, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui tidak berupaya untuk mengawal selia kegiatan itu kerana ia di luar bidang kuasanya.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keadaan ini berlaku kerana peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya (1954) (AKP) dalam hal mengawal kegiatan berkempen hanya terhad kepada bahan-bahan kempen tradisional tetapi tidak kegiatan berkempen menggunakan teknologi maklumat.

"Kita hanya boleh kawal kegiatan kempen melalui ceramah, rapat umum serta yang menggunakan bahan tradisional seperti risalah, sepanduk, poster dan kain rentang. Lain daripada itu, kita tidak boleh buat apa-apa.

"Jika pihak tertentu didapati memaparkan sesuatu yang dianggap bohong, fitnah, mengandungi unsur menghasut atau apa-apa maklumat yang dianggap rahsia rasmi menggunakan bahan kempen tradisional, seperti risalah, sepanduk atau kain rentang, kita boleh ambil tindakan dengan merampas, menurunkan dan memusnahkannya.

"Tetapi jika perbuatan sama dilakukan dan disebarkan menggunakan teknologi maklumat, kita tidak boleh bertindak. Terpulanglah kepada yang terlibat untuk mengambil tindakan mengikut peruntungan undang-undang yang lain untuk menjaga kepentingan mereka," katanya kepada mStar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegiatan berkempen tidak rasmi melalui internet, terutama oleh laman-laman web dan blog yang berunsurkan politik yang telah pun bermula sejak dua bulan lalu, walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi tandatanya.

Beliau menjelaskan AKP tidak mempunyai peruntukan untuk mengawal kegiatan kempen yang menggunakan apa juga bentuk teknologi maklumat, sama ada melalui kaedah khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS), internet atau telivisyen berasaskan internet.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka yang berkempentingan, terutama calon serta parti-parti politik yang mereka wakili boleh berbuat sesuka hati dengan melanggar etika berkempen menggunakan kaedah itu.

"Ini kerana, sepanjang tempoh itu, Pihak Berkuasa Kempen Pilihanraya akan menguatkuasakan beberapa akta selari dengan AKP bagi memastikan kempen yang bersih dan beretika," tambahnya.

Beliau juga menggesa pihak yang berkepentingan agar mengambil inisiatif memantau kegiatan berkempen melalui internet dan membuat laporan sama ada kepada polis atau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia jika terdapat bahan-bahan yang berunsur bohong, fitnah, menghasut atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang lain.

Mengulas kegiatan parti-parti politik yang telah pun memulakan perang bendera di tempat-tempat awam, Wan Ahmad berkata perkara itu juga berada di luar bidang kuasa SPR.

Katanya, terpulanglah kepada pihak berkuasa tempatan untuk bertindak ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab kerana mencacatkan pemandangan di tempat awam dengan memasang bendera dengan jumlah yang banyak.

SPR, katanya, hanya boleh menguatkuasakan undang-undang dan peraturannya sebaik parlimen dibubarkan dan tidak sebelum itu.

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM

Apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berfikir, kesetiaan yang ditunjukkan beliau kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantunya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6?

Mesej sebenar yang hendak disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah, jika Abdullah diberi mandat melanjutkan khidmatnya sepenggal lagi, Najib mungkin tidak berpeluang menjadi PM dan Presiden Umno.

Gesaan Mahathir Mohamad supaya Abdullah Badawi hanya diberi mandat sepenggal sahaja sebagai PM ke-5, harus dipandang serius oleh semua rakyat, khususnya ahli-ahli Umno sendiri.

Mahathir mendakwa, semasa menyerahkan kuasa kepada Abdullah, mereka ada membuat perjanjian lisan supaya Abdullah memegang jawatan hanya sepenggal dan selepas itu menyerahkannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata Mahathir, ianya memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib. Apapun Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti tentang kewujudan perjanjian tersebut.

Fokus Mahathir jelas. Mesejnya juga jelas. Iaitu jika Abdullah diberi mandat sekali lagi, ia bukan sahaja membahayakan negara, malah Umno juga akan rosak.

Dalam reaksinya kepada komen Mahathir, Abdullah dengan tegas berkata tiada 'gentlemen's agreement' antara keduanya.

Manakala Najib pula berkata, "Saya tak tahu pasal itu. Saya komited dalam sokongan saya kepada Perdana Menteri (Abdullah) dan taat kepada beliau."

'Beri saya sepenggal lagi'

Sebelum ini Abdullah telah pun meminta mandat rakyat untuk membenarkannya menerajui negara sepenggal lagi, dalam erti kata lain beliau meminta rakyat memberikan kuasa semula kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Barangkali satu penggal tidak mencukupi baginya. Belum ada jaminan dua atau tiga penggal mencukupi baginya untuk membuktikan Malaysia berbaloi mempunyai PM sepertinya.

Abdullah meminta mandat lagi kerana mendakwa kerajaan sedang dalam proses melaksanakan segala program dan projek ekonomi yang dirancang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapai hasilnya.

Abdullah dilaporkan sebagai berkata, program-program tersebut akan mengambil masa selama 5 tahun dan jika termasuk rancangan pembangunan serta polisi ekonomi negara, ianya memerlukan sehingga 30 tahun barulah hasilnya boleh dilihat.

Jika dilihat kepada faktor kemampuan dan usia, mustahil Abdullah mampu bertahan sehingga 30 tahun sebagai PM, barangkali dua atau tiga penggal beliau masih boleh meneruskan tugasnya.

Dalam hal ini jelas Mahathir tidak bersetuju dengan hasrat Abdullah untuk meminta rakyat bagi meneruskan mandatnya sepenggal lagi.

"Saya faham memang untuk melaksanakan sesuatu projek akan mengambil masa, namun saya fikir ia bukan suatu alasan untuk kekal berkuasa sehingga 18 tahun lagi....," kata Mahathir sinis.

Apapun Mahathir tetap mengulangi pendiriannya bahawa oleh kerana Abdullah harus diberi peluang sepenggal sahaja dan selepas itu jawatan PM diserahkan kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.

Nilai kesetiaan dalam Umno

Saranan Mahathir supaya Abdullah hanya diberikan sepenggal sahaja ada logiknya berdasarkan pengalaman 22 tahun beliau menjadi PM dan Presiden Umno.

Sepanjang ingatan penulis, hanya Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) sahaja yang dilihat 'menderhaka' kepada PM, mengumpulkan kekuatan dan bergabung dengan Tengku Razaleigh Hamzah, sehingga tersingkir dalam pemilihan parti.

TPM yang paling setia adalah Encik Ghafar Baba (Tun), menggantikan Musa, namun tersingkir apabila tewas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1993.

Malahan Anwar sebelum dipecat (tahun 1998) sentiasa menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Mahathir. Mahathir adalah ayahanda, Mahathir adalah segala-galanya.

Malangnya kesetiaan itu tidak memadai dan akhirnya Anwar disingkirkan dalam keadaan yang sangat tragis dalam politik negara.

Unsur-unsur kesetiaan dalam politiking Umno sangat diragui sebenarnya. Wujudnya rasuah, black mail, character assassination dan real assassination dalam perebutan jawatan parti. Fenomena ni bukannya baru, ia wujud dan subur semasa Mahathir masih menerajui Umno.

Pemimpin-pemimpin Umno juga sedar puak yang menyokong seseorang pemimpin belum tentu kerana kekuatan peribadinya atau kekuatan kewangan dan kuasa yang dimiliki.

Hakikatnya kesetiaan mutlak tidak wujud, yang wujud hanyalah kesetiaan fantasi sementara kuasa dan wang ada pada tangan seseorang yang bernama Abdullah Ahmad Badawi.

Persoalannya apakah kini, Najib dan penyokong-penyokongnya yakin, dengan ikrar kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Abdullah, suatu jaminan untuk tidak tersingkir?

Membantu Umno untuk membersihkannya?

Mahathir turut mengajak rakyat supaya 'mengajar' Barisan Nasional dan mengekang kuasa mutlak Abdullah dengan mengakibatkan ia 'defect' di kawasan tertentu.

Tujuannya jelas kata Mahathir, ia sekaligus akan membantu Umno untuk membersihkannya dari daki-daki yang dibawa oleh Abdullah, Khairy Jamaluddin dan kroni-korninya dari Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.

Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dikecam rakyat sejak zaman Mahathir, kini begitu subur akibat mandat besar yang diperolehi Abdullah di penggal pertama menjadi PM.

Amalan buruk ini menjadi semakin buruk apabila orang-orang Umno sendiri tidak berupaya 'mengangkat muka' untuk menegur Abdullah dan Khairy. Mereka hanya mampu melepaskan geram dengan 'cakap-cakap belakang' sahaja.

Jika pun Mahathir seorang sahaja yang berani bersuara dan lantang mengkritik Abdullah, tetapi kesedaran ini sudah hampir terlambat.

Usia dan kesihatan Mahathir sudah tidak mengizinkannya memperbetulkan kesilapannya melantik Abdullah sebagai penganti beliau.

Orang-orang Umno tidak boleh diharap untuk memperbetul dan membersihkan kekotoran dalam Umno sebagaimana yang didakwa Mahathir.

Tidak ada jalan lain untuk mengubah keadaan ini melainkan menghentikan mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tidak lama lagi.

Kelihatannya memang sukar, tetapi tiada yang mustahil jika Allah mengkehendakinya.

Thursday, February 14, 2008

PRU- 12 : Pengendali Laman Web, Bloggers Sedia Gempur

Laman web dan bloggers pro pembangkang sudah pasti akan menggunakan internet sebagai medium utama dalam menghadapi propaganda Barisan Nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 12 ini.

Di sebalik pelbagai usaha BN untuk menyekat kebebasan penyebaran maklumat, ia ternyata gagal menghalang kemaraan rakyat yang semakin sedar dengan pelbagai salahlaku serta penyelewengan pemimpin kerajaan.

Walaupun internet terhad kepada segmen tertentu dari kalangan pengundi, namun perkembangan pesat teknologi maklumat serta peningkatan rakyat celik IT amat membimbangkan BN, terutamanya menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Pengendali laman web terkenal, Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin berpendapat, internet tetap digunakan secara konsisten dan lebih aktif oleh rakyat Malaysia sejak pilihan raya umum 2004 setelah tercetusnya gelombang reformasi kebangkitan rakyat akibat tangkapan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita telah bersedia dengan strategi di peringkat bloggers untuk berhadapan dengan pihak Umno sejak 10 tahun yang lalu, bukan hanya dalam jangka masa mendekati pilihan raya ini,"

Tegasnya, meskipun ramai yang mempunyai tanggapan mengenai kepentingan web tersebut yang masih dipandang rendah akan keberkesanannya kepada pengundi, Raja Petra memaklumkan bahawa terdapat sebilangan pengundi yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun yang tidak pernah mengundi sebelum ini mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini selepas terkesan dengan pengaruh maklumat pada laman web.

"Mereka ini adalah pengundi yang tidak pernah mendaftar, tetapi setelah mendapat maklumat daripada laman-laman web mereka mengambil keputusan untuk mengubah kerajaan yang ada kerana telah 'fed-up',"

Selain itu, beliau menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 11 juta bilangan pengguna internet berdaftar di Malaysia yang aktif menggunakan teknologi 'broadband' atau jalur lebar sepanjang tahun.

"Ini bermakna sebahagian besar daripada mereka merupakan pengundi dalam pilihan raya ini, walaupun kita mengetahui bahawa orang bandar kurang berminat untuk mengundi berbanding orang kampung. Sebab itu Umno-BN mensasarkan orang kampung yang pada pandangan mereka lebih mudah untuk digula-gulakan,"

Dalam pada itu, pihaknya juga mendapat maklumat bahawa Umno-BN telah mengadakan banyak perbincangan bagi mengatur strategi khusus memerangi laman web dan blog pembangkang namun kesemuanya menemui kegagalan.

"Mereka telah kaji cara untuk tangani 'cyber war' menjelang pilihan raya dengan menubuhkan kumpulan 'cyber-troopers' di bawah kelolaan Dato' Azalina dan Dato' Norza, tetapi semuanya gagal kerana kita telah tahu taktik mereka yang menghantar komen-komen yang membanjiri blog dan laman web kita sebagai perangkap,"

Jelasnya, usaha yang mereka jalankan sejak 1998 itu gagal menyaingi kumpulan pengendali laman web dan blog alternatif.

Sementara itu, seorang lagi penulis blog yang sensasi, Jeff Ooi pula merasakan sungguhpun kempen menggunakan internet sebagai medium mempengaruhi pengundi tidak relevan dengan kawasan luar bandar, ia tidak bermakna ia harus dikesampingkan.

"Sememangnya kempen siber memang tidak relevan dengan kawasan luar bandar kerana tiada akses internet yang mantap. Tetapi parti-parti politik telah lama menggunakan saluran tersebut untuk menyampaikan agenda kepada pengundi,"

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa rakyat Kelantan adalah antara pengguna internet yang agresif.

"Internet telah biasa digunakan secara agresif di Kelantan. ketika saya singgah di sebuah warung di tepi jalan sebuah pekan kecil, saya sangat terkejut kerana ia mempunyai akses internet tanpa wayar (wireless)," katanya.

Dengan tidak menafikan bahawa terdapat halangan serta kekurangan kempen menggunakan saluran internet ini, beliau masih menyatakan bahawa ia merupakan suatu ruang yang seharusnya dimanafaatkan secara maksimum oleh jentera parti yang bertanding.

Hal ini sekaligus menangkis dakwaan yang dibuat oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy, yang menyatakan bahawa laman web dan blog tidak akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kali ini

Bagaimanapun, beliau melihat ia akan menjadi ' jentera ' yang lebih penting bagi menghadapi pilihan raya selepas ini.

Selain itu, Khairy turut mengakui pasukan dalam alam siber Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia masih gagal menyaingi jentera siber pro pembangkang namun ia sudah ada permulaan yang agresif.

"Saya nampak pasukan kita masih belum dapat bersaing tetapi sudah ada permulaan dan saya nampak perkara ini penting bukan untuk pilihan raya kali ini tetapi pada pilihan raya selepas ini," kata Khairy pada Agendadaily ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gopeng, dekat Sungai Rapat Ipoh, Perak petang Sabtu.

Beliau menganggap ketika ini amat penting bagi jentera perang alam siber pemuda digerakkan berlatih menghadapi pilihan raya secara ' realiti ' untuk tujuan membina kekuatan bagi menghadapi 'peperangan' sebenar dalam pilihan raya ke 13.

Katanya, "kalau kita ketinggalan kali ini, kita tidak ada latihan, kita tidak dapat praktis. Saya nampak alternatif media ini tidak akan menjadi satu faktor penentu di pilihan raya kali ini tapi pada pilihan raya akan datang atau seterusnya faktor media alternatif ini akan menjadi lebih penting".

"Kalau kita tidak menggunakan kesempatan ini untuk 'berlatih' dalam alternatif media ini, kita akan kehilangan satu peluang yang baik. Kita sekarang kena dry run disamping kita cuba menangkis segala tohmahan dalam internet tapi kita akui mereka jauh mendahului kita dalam internet tetapi inilah juga masa yang baik untuk kita cuba dry run. "

Rakyat Malaysia Keluar Mengundi 8 Mac

Hampir 11 juta rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi akan membuang undi untuk menentukan kerajaan memerintah bagi tempoh Parlimen ke-12 pada 8 Mac berikutan pembubaran Parlimen Rabu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata, tempoh berkempen kali ini ditetapkan selama 13 hari, bermula daripada hari penamaan calon pada 24 Feb sehingga tengah malam sebelum hari mengundi.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di sini Khamis, beliau berkata pengundian kali ini melibatkan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di 12 negeri, kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya peringkat negerinya pada 2006.

Katanya SPR menerima notis rasmi pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di 12 negeri itu petang Rabu.

Katanya, Daftar Pemilih yang diwartakan Februari lepas yang mengandungi 10,922,139 pengundi berdaftar, termasuk 10,601,054 pengundi pos akan digunakan.

Jumlah pengundi kali ini, katanya, bertambah kira-kira 600,000 berbanding pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Writ pilihan raya, katanya, akan dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus yang telah dilantik di 222 kawasan pilihan raya pada Jumaat, sementara notis pula akan dikeluarkan pada keesokan harinya.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, terutama parti politik, calon dan petugas agar sentiasa memberi kerjasama kepada SPR serta mematuhi undang-undang, prosedur dan tata susila pilihan raya seperti yang ditetapkan dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Ini bagi penting bagi membolehkan kita memastikan pilihan raya kali ini bersih dan adil dan berlangsung dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.

Katanya, sebanyak 30 parti politik yang berdaftar dengan suruhanjaya itu layak mengambil bahagian.

Menurutnya, tempoh berkempen 13 hari yang ditetapkan lebih daripada memadai, walaupun jika mengikut kehendak parti-parti tertentu, tempoh yang ditetapkan tidak pernah cukup.

"Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak," katanya.

Tempoh berkempen kali ini lebih panjang berbanding hanya lapan hari pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau juga meminta pihak media agar memberikan publisiti seimbang kepada calon yang mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, walaupun SRP tidak mempunyai kuasa dalam menentukan perkara itu, suruhanjaya itu bagaimapun berharap media tidak bersikap terlalu memihak dan condong kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

“Dalam negara ini kita tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan garis sempadan sejauh mana media boleh condong kepada mana-mana pihak. Bagimanapun, saya berharap, mereka akan berlaku lebih adil,” katanya.

Mengenai pemerhati luar negara, Abdul Rashid berkata, SPR tidak mempunyai undang-undang bagi mengiktiraf mana-mana pemerhati asing.

Bagaimanapun, katanya badan pemantau pilihan raya Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) akan dibenarkan membuat pemantauan sepanjang proses pilihan raya kali ini.

“Mafrel terlibat membuat pemantauan ketika pilihan raya negeri Sarawak tahun 2006 dan kita dapati ia telah melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau juga menjangkakan peratusan pengundi yang keluar mengundi akan lebih tinggi daripada purata antara 74 dan 75 peratus dalam pilihan raya sebelum ini.

“Kita dapati kali ini rakyat telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya. Kita harap, lebih ramai pengundi akan menggunakan hak dan kebebasan untuk menentukan kehidupan politik negara pada pilihan raya kali ini,” tambahnya.

Wednesday, February 13, 2008




Panduan Pilih Pemimpin-Haron Din

"Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah."

Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah, selepas wafatnya baginda Rasulllah s.a.w yang dinukilkan semula oleh Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din sewaktu diminta untuk memberi panduan kepada umat Islam memilih pemimpin pada pilihan raya umum akan datang.

"Pemerintah,pemimpin atau individu yang terdiri daripada pembodek-pembodek, perasuah, guna harta dan tercalar akhlak wajib ditentang dan ditolak sama sekali berpandukan syarak dan ucapan Abu Bakar as-Siddiq itu," katanya ketika hubungi Harakah.

Kata Haron Din umat Islam berkewajipan memilih pemimpin mengikut tuntutan syarak yang berpandukan al-Quran dan Sunnah di samping pemerintah juga wajib mendapat restu rakyat dan salah satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah ketika Rasullullah mendirikan kerajaan Islam Madinah termasuk ketika melantik Abu Bkar menjadi khalifah selepas wafatnya Nabi Muhammad.

"Kini giliran kita memilih pemimpin berpandukan kepada kaedah syarak untuk mewakili rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya akan datang," katanya ketika dihubungi Harakah.

Syarak katanya menentukan rakyat memilih pemimpin sepertimana melantik imam di dalam solat jemaaah iaitu yang terbaik di kalangan yang sedia ada.

"Maksud terbaik ialah bersih dan kuat imannya, lebih bertaqwa, lebih pandai hukum Islam dan lebih komited kepada agama Allah," katanya

Beliau turut memberi contoh bagaimana Bani Israel pada zaman dahulu menghendaki pemimpin dan meminta Allah memilih, namun pilihan tersebut iaitu Taalut dibantah mereka kerana calon tersebut tidak berharta.

Lalu Nabi ketika itu menjelaskan bahawa walaupun Taalut tidak berharta tetapi mempunyai ilmu yang tinggi dan akhlak mulia serta berani, katanya.

"Umat Islam boleh merujuk ayat 247 surah al-Baqarah sebagai panduan dan tips untuk memilih pemimiin dalam pilihan raya akan datang," katanya

Dalam pada itu beliau melarang para pengundi memilih individu yang menggunakan hartanya untuk membeli undi dan tercalar akhlaknya.

"Taatilah pemerintah bukan bermaksud membuta tuli kepada sesiapa atau mana-mana sahaja pemimpin tetapi yang terbaik di kalangan kamu seperti yang disebut dalam al-Quran," katanya.

Debarannya Bermula

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada tengah hari Rabu.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

Pembubaran Parlimen ini dibuat 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahunnya yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat beberapa hari lagi bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Semasa pengumuman itu yang turut dihadiri oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berharap pilihan raya umum yang bakal diadakan akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) berharap mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Katanya jentera BN telah disusun rapi dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Senarai calon telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata bahawa BN akan menampilkan barisan calon terdiri muka lama dan baru, yang akan diumumkan sehari dua lagi.

Pemerhati politik meramalkan pengundian akan diadakan pada awal bulan depan manakala hari penamaan calon dijangka diadakan dalam minggu terakhir bulan ini.

Ini berdasarkan amalan SPR sebelum ini yang menetapkan tempoh kempen berlangsung 10 hari sahaja pada beberapa pilihan raya umum lepas.

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, proses demokrasi itu berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja.

Pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Pada pilihan raya umum 2004, sejumlah 219 kerusi Parlimen dipertandingkan tetapi kali ini terdapat pertambahan tiga kerusi Parlimen baru di Sarawak berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu pada 2006.

Sebelum Parlimen dibubarkan, BN menguasai 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Semasa menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar itu, Abdullah berkata kerajaan membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal kerana mahukan mandat baru bagi meneruskan usaha-usaha memajukan negara.

Perdana Menteri berharap para pengundi akan memberi sokongan yang besar kepada BN pada pilihan raya umum ke-12 ini untuk manfaat mereka.

"Saya berharap para pengundi akan faham isu-isu dalam negara, beri penilaian secara objektif dan beri undi kepada BN," katanya.

Abdullah yakin BN akan menang besar berdasarkan kepada prestasi kerajaan BN yang telah melaksanakan segala janjinya kepada rakyat.

Tambahan pula, katanya program-program yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada rakyat.

Abdullah berkata rekod BN adalah baik kerana dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik.

Beliau berkata BN juga dapat meningkatkan nilai kejayaan negara dan mempunyai pengalaman mentadbir negara dengan berkesan.

Mengulas mengenai penafiannya semalam berhubung tarikh pembubaran Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak boleh beri sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum memperkenankannya lagi. Saya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum saya boleh mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen."

Abdullah berkata tidak salah membubarkan Parlimen lebih awal sebelum mandatnya tamat. Mandat kerajaan BN berakhir pada 16 Mei 2009.

Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan perayaan dan aktiviti masyarakat Cina yang masih merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai pemilihan tarikh 13 Feb untuk membubarkan Parlimen itu memberi makna tertentu, Abdullah berkata: "Tak payah ulaslah tu."

Angka 13 diketahui umum sebagai angka kegemaran Perdana Menteri.

Mengenai calon BN, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata beliau belum menerima senarai calon yang lengkap setakat ini.

SPR sebelum ini telah menyatakan bahawa terdapat kira-kira 10.9 juta pemilih berdaftar, termasuk kira-kira 700,000 pengundi baru, yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

Antara lain, SPR akan memperkenalkan peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian pada pilihan raya umum ke-12.

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.