Sunday, February 17, 2008

Hormatilah saranan Dr Mahathir, jangan pilih calon BN yang rasuah

"Pemberi dan penerima rasuah masuk neraka." (mafhum hadis)

Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersuara lagi. Kali ini tentang rasuah. Dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku terbarunya, "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" (Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Para Pemimpin Dunia) beliau mahu penyokong BN tidak mengundi pemimpin yang "korup dan kayu mati" dalam pilihan raya umum ini.

Menurutnya, masa sudah tiba untuk "membersihkan kerajaan BN, khususnya parti tulang belakangnya, Umno" yang sudah semakin parah dihinggapi barah rasuah.

Usaha ini, tegasnya perlu kerana BN nampaknya tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri. Beliau menambah, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti akan dikekang.

Itu saranan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN yang telah menerajui pentadbiran negara lebih dari dua setengah dekad (24 tahun)!

Dan sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Dr Mahathir mengakui telah memberi amaran, merayu malah menangis di atas pentas Perhimpunan Agung Umno supaya budaya membeli undi, politik wang dan rasuah dihapuskan dalam Umno. Bagaimanapun amaran, rayuan dan ratapan beliau tidak langsung diendahkan para perwakilan Umno kerana masing-masing sudah basah lencun disimbah gelombang rasuah!

Apa yang mendukacitakan Dr Mahathir, beliau juga kalah dalam mendapatkan tempat sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu kerana rasuah.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangkakan perkara ini akan berterusan sewaktu pilihan raya umum," katanya.

Bagi Dr Mahathir, seluruh perwakilan Umno yang memenuhi PWTC setiap kali persidangan Umno berlangsung tidak lagi boleh dipercayai kerana gagal membersihkan Umno daripada amalan rasuah. Baginya, Umno tidak lagi berupaya untuk membersihkan diri daripada rasuah seperti mana gagalnya tokoh-tokoh agama Umno untuk menjadikan parti itu sebagai 'parti yang beragama'. Maka jelaslah bahawa teori "membersihkan tong tahi dari dalam" tidak langsung menampakkan hasil seperti gagalnya Anwar Ibrahim dan para sahabatnya untuk "mengislamkan Umno dari dalam".

Maka Dr Mahathir merayu kepada para penyokong setia Umno dan BN - yang tidak terlibat dengan rasuah - untuk membantu membersihkan Umno dan BN daripada rasuah.

Ketika pentadbiran Abdullah dilihat lemah dalam usaha membanteras rasuah dan di saat institusi pembanteras rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga terlibat dalam rasuah dan melindungi perasuah (lihat kenyataan bekas setiausaha 'peguam mabuk' VK Lingam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Lingam), tiada pilihan bagi rakyat khususnya penyokong BN selain menolak calon-calon rasuah dalam pilihan raya umum ini.

Memang ada usaha di kalangan pemimpin Umno/BN untuk mengaburi mata rakyat dengan mendakwa calon-calon BN telah pun ditapis oleh BPR dan bersih daripada rasuah; tetapi adakah kita boleh mempercayai sebuah badan pembanteras rasuah seperti BPR yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan kredibiliti dan komitmen pentadbiran Abdullah dalam membanteras rasuah diragui rakyat.

Lihat sajalah kesudahan kes rasuah bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia. Apa jadi dengan 18 kes rasuah berprofail tinggi yang diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Rais Yatim yang pada penggal kedua pentadbiran Abdullah ditukar portfolio ke Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (Kekkwa)? Bagaimana pula kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang masing-masing dibebaskan dari sebarang dakwaan oleh polis (yang menyiasat Zulkifli Mohd Nor) dan BPR (yang menyiasat Musa Hassan).

Adakah kita tidak mendapat pengajaran daripada kegagalan polis mengesan individu yang melebamkan mata Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan; sehingga satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan dan mendapati penjenayah itu ialah Ketua Polis Negara sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Nor)?

Kita boleh menyenaraipanjangkan kes-kes rasuah yang masih tersimpan dalam 'fail X' negara termasuk pengagihan saham bumiputera kepada menantu Ketua Wanita Umno yang masih lagi bersemangat untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar. Tetapi jika rakyat masih bersikap sambil lewa dalam usaha membanteras dan membasmi rasuah - barah ini akan terus membelenggu negara.

Mungkin ramai penyokong BN yang menganggap kempen PAS dan BA untuk menyelamatkan negara daripada rasuah sebagai 'cakap-cakap politik' bagi meraih kuasa. Bagaimanapun jika seruan itu datang daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN - yang telah menerajui kerajaan lebih dua dekad lamanya - ia perlu dipandang serius oleh rakyat!

Dr Mahathir bercakap tanpa sebarang kepentingan; malah kedudukan beliau sebagai penasihat beberapa GLC boleh tergugat apabila membangkitkan isu ini. Beliau mungkin gagal membanteras rasuah ketika memegang kuasa. Tetapi berilah peluang untuknya membersihkan negara daripada rasuah setelah melihat betapa jijiknya amalan itu ketika tidak lagi berkuasa.

Kepada para penyokong BN, hormatilah saranan Dr Mahathir.

Jangan pilih calon rasuah!

Selamatkan negara daripada pemimpin rasuah!

0 comments:

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.