Thursday, February 21, 2008

Negara berkebajikan tajaan PAS bukan retorik - Husam

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menjelaskan konsep negara kebajikan tidak ada masalah untuk dilaksanakan PAS dan Barisan Alternatif (BA) sekiranya menang dengan majoriti pada pilihan raya umum ini.

"Bukan kita tidak mampu laksanakan tawaran itu. Kita tetap akan laksanakan apabila diberi mandat oleh rakyat. Dan tumpuan kita sekarang mahu mengurangkan majoriti Barisan Nasional," katanya pada satu program ceramah di Selising malam tadi.

Menurut beliau sekiranya kita tidak dapat menguasai peringkat Pusat, pelaksanaannya boleh dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai PAS dan pembangkang.

Semalam ketika bercakap kepada pemberita di Kota Darulnaim katanya, PAS tidak ada masalah membentuk kerajaan biar pun bertanding hanya 60 kerusi di peringkat parlimen, memandangkan masih ada rakan-rakan lain.

"Kalau rakyat bagi mandat kita akan buat. Kita masih boleh bentuk kerajaan melalui pakatan dengan kawan-kawan lain dari pembangkang.

"Kawan-kawasan dari Umno juga kita tawarkan, misalnya di Sabah, Sarawak kalau mereka setuju boleh jadi kawan kita. Kita tidak buat (negara kebajikan) seorang.

"Power sharing itu ada. Dan profit sharing itu lain sekarang. Bagaimanapun BN hanya lebih penting profit sharing," katanya.

Menurutnya pada asalnya PAS berusaha hendak kurangkan majoriti BN memandangkan PAS tidak bertanding dikesemua kerusi Parlimen.

Katanya kalau kerajaan BN mempunyai kuasa besar, ia tidak baik untuk survival rakyat.

"Kita kena pujuk rakyat, kita ikhlas hendak tawarkan kepada rakyat dengan beberapa tahap. Sekarang tahap pertama hendak kurangkan majoriti. Ini yang kita tawarkan kepada rakyat.

"Dan kalau rakyat kata PAS dah layak memerintah itu sudah tahap yang kedua. Jadi kalau kita tidak beri apa-apa tawaran bagaimana rakyat hendak buat perbandingan," katanya.

Ditanya masalah dalaman di kalangan pembangkang kata Husam serupa berlaku dalam BN terutamanya dengan PPP sekarang.

Namun katanya apa yang pasti pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku di kalangan pakatan pembangkang.

Malah Husam menegaskan tawaran negara berkebajikan bukan suatu retorik untuk menarik sokongan pengundi semata-mata, tetapi ia merupakan satu konsep yang boleh dilaksanakan.

Malah katanya sebahagian konsep itu sudah dilaksanakan kerajaan Kelantan sekarang.

"Hanya dalam masa 18 tahun memerintah pelbagai program kebajikan yang tidak terdapat di mana-mana negeri BN berjaya diperkenalkan kerajaan PAS di Kelantan walaupun sumber kewangan sangat terhad.

"Umpamanya kita menjaga kebajikan warga emas dengan memperkenalkan program Takaful Kifaalah, bagi menjaga kebajikan armalah kita wujudkan insurans yang dikenali sebagai Takaful Armalah.

"Selain itu kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan beberapa syarikat Takaful bagi memperkenalkan pula satu skim insuran kepada golongan muda yang berumur 30 tahun ke bawah," katanya pada satu majlis di Pengkalan Chepa.

Menurutnya, skim insuran itu lahir daripada idea Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara faedah yang akan dinikmati pencarum yang terdiri daripada golongan miskin atau berpendapatan rendah akan mendapat sumbangan RM1,000 bagi menampung perbelanjaan perkahwinan mereka.

"Melalui insuran ini kita harap dapat meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah khususnya yang telah berusia tetapi tidak berkahwin kerana halangan kewangan," katanya.

Selain itu bagi mengatasi masalah mat rempit dan lumba haram, program khusus untuk mendaftar mereka dalam skim insuran khas akan dilaksanakan.

"Melalui program ini Insya-Allah kita akan dapat mengatasi masalah mat rempit di Kelantan. Mereka akan dikumpulkan untuk didaftar sambil diberi ceramah motivasi.

0 comments:

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.