Friday, February 15, 2008

Pengundi berdaftar sebelum 1 Jan 2008 saja layak mengundi

Hanya mereka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih atau pemilih yang membuat pertukaran alamat sehingga 31 Disember tahun lalu sahaja boleh mengundi pada pilihan raya kali ini, kata Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor hari ini, Jumaat.

Beliau berkata ini berikutan keputusan SPR menggunakan daftar pemilih induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari tahun ini untuk tujuan pilihan raya dan yang membolehkan 10.9 juta pemilih layak mengundi.

"Mereka yang mendaftar pada 1 Januari tahun ini dan seterusnya adalah tidak layak untuk mengundi," katanya ketika diwawancara oleh Radio24 Bernama malam ini, Jumaat.

Katanya, SPR telah menggunakan pelbagai pendekatan bagi memudahkan orang ramai yang layak mendaftar sejak tahun lalu termasuk kakitangan SPR bergerak di beberapa tempat untuk membuat pendaftaran selain melantik 650 pejabat pos berkomputer untuk urusan pendaftaran.

"Jadi mekanisme untuk mendaftarkan pemilih itu sudah luas, cuma kadang kala sikap ''tidak apa'' menjadi masalah," katanya.

Kamaruzaman turut menasihatkan para pengundi supaya membuat semakan daftar pemilih lebih awal iaitu sebelum hari membuang undi bagi menentukan status kawasan pengundian mereka selain menasihatkan mereka menyimpan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan diri, lesen memandu atau pasport bagi memudahkan proses pengenalan diri semasa hendak membuang undi.

"Tolong simpan dengan baik dan jangan bagi semua itu kepada orang lain.

"Dan yang terakhir, kertas undi mestilah dimasukkan di dalam peti undi..jangan dibawa balik kerana jika dibawa pulang, adalah menjadi kesalahan dan akan didakwa di bawah seksyen 3 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

0 comments:

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.