Sunday, February 24, 2008

Rangkuman pencalonan PRU-12

Hari ini penentuan bermula. Langkah awal para calon dalam pilihan raya ke-12 akan ditentukan pada hari ini. Kalau diterima borang pencalonan, maka mereka akan bertanding, tetapi jika ditolak, maka lawan calon akan meraih kemenangan tanpa memerah keringat.

Dalam melaporkan perkembangan yang berlaku, beberapa wartawan Harakah meninjau situasi di beberapa kawasan pencalonan seperti berikut;

Lembah Klang

Di Pusat Pencalonan Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak, ANIS NAZRI melaporkan sekitar jam 9.30 pagi tadi calon-calon daripada Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan borang pencalonan mereka iaitu, untuk calon Parlimen Gombak (P098), Azmin Ali; Dato' Dr Hasan Ali (Dun Gombak Setia - N17); Shaari Sungib (Dun Hulu Klang - N18) dan Amiruddin Shaari (Dun Batu Caves - N16).

Sementara itu, calon-calon BN pula adalah Said Anuar Said Ahmad (P.098), Yuszahari Yusoff (N17), Ahmad Bujang (N18) dan T Mohan (N16). Manakala dalam perkembangan yang tidak dijangka, terdapat pencalonan Bebas iaitu , Azmi Hussain (N16).

Menurut Anis, di luar kawasan pusat pencalonan, para penyokong BA telah memenuhi kawasan berkenaan dengan membawa sepanduk, bendera dan melaungkan slogan-slogan untuk menaikkan semangat para calon dan ahli parti.

Antara, slogan yang dikesan ialah, 'reformasi', 'hidup rakyat'dan 'barang naik' sementara sepanduk yang dibawa pula tertulis; 'dah lama sangat dah...cuba ubah sekali', 'kami menang, sekolah rendah ke pendidikan percuma untuk semua rakyat',' kami menang, petrol dan diesel turun.

Selain itu, terdapat juga sepanduk yang tertulis 'tawaran-tawaran BA untuk wanita','undilah PAS untuk menuju negara kebajikan.'

Sementara itu, wartawan NYZA AYOB melaporkan dari Pusat Pencalonan Dewan MPAJ, pusat berkenaan telah dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Calon-calon daripada BN dilaporkan memulakan penyerahan borang pencalonan iaitu; Dato' Ong Tee Kiat (Parlimen Pandan), Nosimah Hashim (Dun Chempaka) dan calon untuk Dun Teratai. Manakala diikuti pula dengan calon BA pada jam 9.15 pagi iaitu; Syed Shahir Syed Mohamud - KeADILAn (Parlimen Pandan), Iskandar Abdul Samad - PAS (Dun Cempaka) dan Jenice Lee - DAP (Dun Teratai).

Di luar kawasan pencalonan kira-kira 2,500 penyokong pembangkang kelihatan berkumpul dengan meneriakkan; 'hidup..hidup rakyat','undi BA, KeADILan, DAP' dan 'kasi turun BN - Barang Naik.'

Sementara itu, BN dilaporkan memenangi kerusi Dun pertamanya di Selangor dengan tanpa bertanding melalui calonnya di Dun Sementa oleh Abdul Rahman Palil setelah calon KeADILan tidak hadir di pusat pencalonan.

Manakala terdapat pertandingan tiga penjuru di Kelana Jaya apabila calon KeADILan, Goh-Burne Loh ditentang oleh calon BN-MCA, Lee Hwa Beng dan calon bebas, Billi Lim Peng Soon.

Di Lembah Pantai pula, wartawan Harakah, ROY RASUL melaporkan pertandingan tiga penjuru berlaku apabila Dato' Sharizat Jalil (BN), ditentang oleh Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar (KeADIlan) dan calon bebas, N Periasamy.

Dalam pada itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditemui di pusat penamaan calon Lembah Pantai memberitahu, beliau akan membantu berkempen untuk anaknya di situ demi memastikan kemenangan Nurul Izzah.

Kelantan

Dalam pada itu, perkembangan di Kelantan yang dilaporkan oleh WAN NORDIN dan INTAN ABDULLAH memaklumkan; calon-calon PAs di Parlimen Tumpat telah dikepalai Dato' Kamarudin Jaffar dengan melangkah masuk pusat penamaan calon di Pejabat Tanah Daerah Tumpat.

Di Dun Kelaboran, Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga penyandang kerusi akan menentang calon BN, Wan Hanapi Wan Daud, sementara di Dun Wakaf Barum calon PAS, Che Abdullah Mat Nawi akan menentang Mohd Rosdi Abdul Aziz dari BN.

Manakala Dun Pengkalan Kubor pula calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Hassan Berahim akan menentang calon BN, Noor Zahidi Omar.

Terdapat bantahan yang dibuat wakil PAS terhadap calon BN pertamanya ke atas Ashraf Wajdi berikutaan kekeliruan alamat tetap dan alamat suart menyurat, begitupun bantahan ditolak.

Sementara itu di luar pekarangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, penyokong kedua-dua parti yang bertanding saling sorak menyorak.Kira-kira 5000 penyokong PAS berkumpul di bahagian sebelah kiri pejabat,sementara kira-kira 1000 penyokong Umno terdiri dari Puteri Umno bersorak di sebelah kanan pejabat.

Di Dun Kijang pula, PAS menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon Barisan Nasional (BN) ditolak.

Calon PAS, Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon BN, Mustopha Ahmed ditolak.

Sebelum itu, PAS memprotes pencalonan Mustopha kerana beliau telah menerima notis bankrap Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke atasnya pada 25 November 2005.

SPR akhirnya menerima protes itu.

Terengganu

Sementara itu, RASHIDI HASSAN melaporkan dari Terengganu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi.

Bagi kerusi Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.

Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.

Manakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.

Manakala di Kuala Terengganu pula, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berdepan pertandingan tiga penjuru bersama calon BN, Razali Ismail dan seorang calon Bebas, Maimun Yusuf yang berusia 89 tahun.

Pulau Pinang

Di kawasan Parlimen Permatang Pauh pula (P44), lebih 3,000 penyokong Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan sokongan apabila berkumpul di sebuah padang berhampiran dengan pusat pencalonan.

Dr Wan Azizah telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.15 pagi di Maktab Perguruan Tengku Bainun manakala lawannya, Pirdaus Ismail menyerahkan borang pada jam 9.03 pagi.

Manakala di Parlimen Bukit Bendera (P48),calon BN, Chia Kwang Chye ditentang oleh calon DAP,Liew Chin Tong. Manakala di Jelutong (P50) pula, blogger Jeff Oii akan berhadapan dengan calon BN, Dr Thor Teong Gee dan calon Bebas, Badrul Zaman.

Pahang

Manakala wartawan Basiron Abdul Wahab melaporkan, kesemua calon BA, 12 parlimen dan 35 Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang bertanding dalam pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.

Tiga kawasan Dun bagaimanapun berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan calon bebas iaitu Dun Damak, Dong dan Mentakab. Kerusi Dun Damak diwakili KeADILan, begitu juga Dun Dong manakala Mentakab diwakili DAP.

Pesuruhjaya PAS Pahang Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Dun Jengka, beliau ditentang calon BN, Wan Salman Ismail.

0 comments:

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.