Thursday, February 14, 2008

Rakyat Malaysia Keluar Mengundi 8 Mac

Hampir 11 juta rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi akan membuang undi untuk menentukan kerajaan memerintah bagi tempoh Parlimen ke-12 pada 8 Mac berikutan pembubaran Parlimen Rabu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata, tempoh berkempen kali ini ditetapkan selama 13 hari, bermula daripada hari penamaan calon pada 24 Feb sehingga tengah malam sebelum hari mengundi.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di sini Khamis, beliau berkata pengundian kali ini melibatkan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di 12 negeri, kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya peringkat negerinya pada 2006.

Katanya SPR menerima notis rasmi pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di 12 negeri itu petang Rabu.

Katanya, Daftar Pemilih yang diwartakan Februari lepas yang mengandungi 10,922,139 pengundi berdaftar, termasuk 10,601,054 pengundi pos akan digunakan.

Jumlah pengundi kali ini, katanya, bertambah kira-kira 600,000 berbanding pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Writ pilihan raya, katanya, akan dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus yang telah dilantik di 222 kawasan pilihan raya pada Jumaat, sementara notis pula akan dikeluarkan pada keesokan harinya.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, terutama parti politik, calon dan petugas agar sentiasa memberi kerjasama kepada SPR serta mematuhi undang-undang, prosedur dan tata susila pilihan raya seperti yang ditetapkan dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Ini bagi penting bagi membolehkan kita memastikan pilihan raya kali ini bersih dan adil dan berlangsung dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.

Katanya, sebanyak 30 parti politik yang berdaftar dengan suruhanjaya itu layak mengambil bahagian.

Menurutnya, tempoh berkempen 13 hari yang ditetapkan lebih daripada memadai, walaupun jika mengikut kehendak parti-parti tertentu, tempoh yang ditetapkan tidak pernah cukup.

"Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak," katanya.

Tempoh berkempen kali ini lebih panjang berbanding hanya lapan hari pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau juga meminta pihak media agar memberikan publisiti seimbang kepada calon yang mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, walaupun SRP tidak mempunyai kuasa dalam menentukan perkara itu, suruhanjaya itu bagaimapun berharap media tidak bersikap terlalu memihak dan condong kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

“Dalam negara ini kita tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan garis sempadan sejauh mana media boleh condong kepada mana-mana pihak. Bagimanapun, saya berharap, mereka akan berlaku lebih adil,” katanya.

Mengenai pemerhati luar negara, Abdul Rashid berkata, SPR tidak mempunyai undang-undang bagi mengiktiraf mana-mana pemerhati asing.

Bagaimanapun, katanya badan pemantau pilihan raya Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) akan dibenarkan membuat pemantauan sepanjang proses pilihan raya kali ini.

“Mafrel terlibat membuat pemantauan ketika pilihan raya negeri Sarawak tahun 2006 dan kita dapati ia telah melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau juga menjangkakan peratusan pengundi yang keluar mengundi akan lebih tinggi daripada purata antara 74 dan 75 peratus dalam pilihan raya sebelum ini.

“Kita dapati kali ini rakyat telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya. Kita harap, lebih ramai pengundi akan menggunakan hak dan kebebasan untuk menentukan kehidupan politik negara pada pilihan raya kali ini,” tambahnya.

0 comments:

 
Pilihan Raya Umum ke 12. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.